Usaha memperkukuh dasar sosial bersepadu





Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan






 

DOHA, QATAR, Jumaat, 7 November. - Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad telah menghadiri The Second World Summit on Social Development yang diadakan pada 4 hingga 6 November 2025 di Doha, Qatar.


Sidang Kemuncak tersebut menghimpunkan lebih 14,000 peserta dari seluruh dunia, termasuk ketua-ketua negara dan kerajaan, Timbalan-timbalan Perdana Menteri dan Menteri-menteri Bertanggungjawab terhadap pembangunan sosial, ketua-ketua pertubuhan antarabangsa, pemimpin belia, masyarakat sivil dan sektor swasta dan seterusnya mengesahkan Doha Political Declaration, yang menekankan tiga keutamaan yang saling berkait, iaitu pembasmian kemiskinan, pekerjaan yang penuh dan produktif serta pekerjaan yang layak untuk semua, dan integrasi sosial.


Sidang Kemuncak berkenaan telah dirasmikan oleh Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Puan Yang Terutama Annalena Baerbock; Setiausaha Agung PBB, Tuan Yang Terutama Antonio Guterres; His Highness Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Amir Qatar selaku tuan rumah dan Presiden bagi Economic and Social Council (ECOSOC), Tuan Yang Terutama Lok Bahadur Thapa.


Di dalam kenyataan, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menegaskan komitmen berterusan negara terhadap pelaksanaan 1995 Copenhagen Declaration on Social Development, yang kini diperbaharui melalui Doha Political Declaration dan 2030 Agenda for Sustainable Development.


Yang Berhormat turut mengongsikan langkah-langkah negara melalui Social Blueprint dan Manpower Blueprint yang dilaksanakan melalui pendekatan seluruh negara (Whole of Nation), menerusi platform kerjasama pelbagai agensi seperti Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS), Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPTMP) dan Jawatankuasa Khas Penyelarasan Kebangsaan mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).


Yang Berhormat juga turut menyentuh inisiatif serantau, termasuk penubuhan ASEAN Centre for Climate Change di Negara Brunei Darussalam dan sokongan terhadap ASEAN Comprehensive Framework on Care Economy.


Selain sesi plenari, beberapa platform dan inisiatif berkaitan turut diadakan termasuk dua High-Level Round Tables bagi membincangkan pengukuhan usaha pembasmian kemiskinan, mengwujudkan peluang pekerjaan yang layak, peningkatan keterangkuman sosial, dan mengkaji semula kemajuan serta cabaran dalam pelaksanaan komitmen di bawah Copenhagen Declaration on Social Development and its Programme of Action dan 2030 Agenda for Sustainable Development.


Penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam Sidang Kemuncak ini mempertunjukkan komitmen berterusan negara ke arah usaha sejagat dan mentakrifkan semula strategi dalam memperkukuh dasar sosial yang bersepadu, memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dalam perjalanan pembangunan lestari sejagat.


Hadir bersama Yang Berhormat, pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.


Close